‘Winnable Candidate’ berpotensi kuasai kerusi dalam PRU15
Barisan Nasional (BN) perlu lebih konsisten dengan naratif untuk mengembalikan maruah UMNO dan BN dengan meletakkan calon ‘winnable candidate’ tanpa mengira calon lama atau baru.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata kepimpinan UMNO perlu meletakkan calon ‘winnable candidate’ bagi memenangi 112 kerusi secara menyeluruh untuk membentuk kerajaan.
“Pucuk pimpinan perlu fokus dan tidak boleh memperjudikan mana-mana kerusi pada PRU15 ini dengan meletakkan calon yang ‘separuh masak’.
“BN perlu memilih calon yang berkarisma, berwibawa, boleh menang, diterima dan disukai rakyat,” menerusi hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat berkata ini adalah strategi utama dan kukuh dengan meletakkan ‘winnable candidate’ bagi mengelakkan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak selepas keputusan PRU15.
“Rakyat perlukan kestabilan politik yang unggul demi membantu mereka keluar dari kesempitan hidup.
“Rakyat sangat lesu dengan kerajaan yang lemah,” katanya.
Tambahnya BN perlu membuktikan kemampuan ke arah yang lebih baik dan mengembalikan keyakinan dan kepentingan rakyat untuk kemajuan negara ke arah yang lebih proaktif.
“Percayalah rakyat telah yakin pada BN, hanya kita sahaja yang perlu membuat keputusan siapakah wakil rakyat yang terbaik untuk mereka,” ujarnya.