Yakin pada pimpinan pilih calon PRU15 demi kemenangan BN
Nilai kebersamaan yang tinggi yang terdapat dalam UMNO merupakan resepi terbaik parti itu untuk mengetengahkan cadangan 70 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini bagi memastikan Barisan Nasional mendapat mandat yang sepatutnya diperoleh.
Bercakap dalam rancangan Bicara Nasional malam tadi, EXCO Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin mengingatkan ketika Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor berlangsung, meskipun UMNO meletakkan calon muka baharu di kedua-dua PRN tersebut namun, Barisan Nasional mampu meraih kemenangan besar.
“Mungkin akan daripada sekarang kalau ada yang tidak dapat (calon) kemudian hari telah pun mula bersedia untuk marah atau sebagainya tetapi saya rasa kenapa pucuk pimpinan buat keputusan sebegitu, kita sudah ada track record.
“Bukan sahaja Melaka, begitu juga di Johor pun ramai muka-muka baharu, bayangkan dan kita menang besar Melaka dan Johor.
“Jadi, ramuan ini kalau difikirkan oleh pihak Barisan Nasional pusat, untuk diteruskan pada PRU15 ini, saya amat berharap agar semua bukanlah kita kata kita daripada orang lama ni marah dan sebagainya tetapi tidak, saya harap kita semua akan berlapang dada dan bekerja untuk meemangkan Barisan Nasional,” katanya.
Tambah Rais, semua pihak dalam parti perlu yakin dan memberi kepercayaan penuh kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon-calon yang bakal dipertandingkan pada PRU15 nanti.
“Jadi, ini bukan diputuskan oleh presiden seorang, jadi tentunya jika lima orang yang utama berbincang ada biro politik, ada jawatankuasa pengurusan, ada war room, mereka mesti telah buat kajian.
“Kita ini selalu dimomokkan dengan isu-isu yang sebenarnya tidak ada. Tetapi sepatutnya fokus kita adalah kepada parti musuh itu sendiri,” ujarnya.